'anniey

'anniey

Wednesday, 17 December 2014

PEMERGIAN SEORANG ABAH & MARAH KERANA ALLAH!

  Bismillah. Syukur dipanjatkan kepada Allah kerana masih dapat menulis lagi. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam Penutup Perutusan Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Al-Fatihah kepada Allahyarham abahku Wan Mohamad bin Wan Ali yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 28 Muharram 1436 Hijriyyah bersamaan 21 November 2014 Masihi di waktu hampir Asar iaitu kira-kira pukul 4.00 petang di Wad Bendahara (bahagian luar, dekat dengan kaunter) Hospital Raja Perempuan Zainab (II), Kota Bharu, Kelantan. Saat Allah menjemput hamba-Nya meninggalkan dunia menuju ke alam barzakh, tidaklah diawalkan ataupun dilewatkan, ia adalah tepat pada masanya yang hanya Dialah yang Maha Mengetahui bila ketikanya. Alhamdulillah ana telah menamatkan pengajian di peringkat asasi pada bulan Mei yang lalu dengan Tingkatan Pemarkahan Terkumpul yang amat sederhana, hampir-hampir sahaja mencapai 3.0, namun ana yakin Allah sudah tetapkan yang terbaik sesuai dengan usahaku selama itu. Alhamdulillah juga kerana telah berjaya mendaftarkan diri di kampus induk lagi utama UIAM Gombak, Selangor Darul Ehsan. Melanjutkan dalam bidang yang sama IRK ataupun Ilmu Wahyu iaitu nama lain bagi Pengajian Islam di UIA, pengkhususan dalam bidang Al-Qur'an dan As-Sunnah. Pada mulanya aku ingin menukar jurusan ke bidang pendidikan namun hati tidak kesampaian. Mahallahku Mahallah Bilal (Mahallah adalah nama lain bagi asrama kediaman pelajar di UIA ini), Blok G, tingkat 3. Bilikku memuatkan empat orang dan dipisahkan dengan satu dinding kayu atau batu dan tidak berpintu antara ruang dalam bilik. Ahli bilikku semuanya aku sudah kenal dan bidang yang sama iaitu IRK tetapi pengkhususan lain-lain. Affifuddin Qur'an Sunnah, Izzul Ishraf Usuluddin dan Shafiq Hasbollah Usuluddin. Walaupun tempat pengajian berbeza namun sikapku masih sama dan aku harap perubahan sikap ke arah yang lebih baik akan berhasil suatu hari nanti sebelum aku menghembuskan nafas terakhir dalam iman dan Islam. Insya Allah. Amin.

  Hari ni ada satu perkara yang aku ingin coretkan. Baca berita di Yahoo! News, aku rasa benci sungguh kerana berita negatif terhadap negeriku dan negaraku menjadi antara tajuk utama di Yahoo! News Malaysia. Satu berita tentang carta pelayar laman sesawang lucah di Malaysia oleh sebuah laman lucah dan berita lain tentang kadar perkahwinan awal dalam kalangan rakyat Malaysia yg 'membimbangkan' Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sebagai seorang pemuda yg berdarah panas, tangan ini terasa terketar untuk menulis segera tindak balas peribadiku terhadap dua artikel berita itu.

  Pertama, negeriku Kelantan tersenarai di angka ketiga selepas Kuala Lumpur dalam masa terlama dan terbanyak melayari laman sesawang tersebut dalam satu-satu masa. Carta tersebut sangat mengejutkan dan membuatkan diri ini terasa sangat malu dan hina. Ditambah lagi dengan maklum balas di ruangan maklum balas di bawah artikel tersebut yang banyak menyerang dan melekehkan negeriku. Bila dikaitkan dengan Kelantan maka secara langsung orang ramai melihat negeri Islam dan serangan ke atas agama ini yang menyedihkan serta menimbulkan perasaan marahku kepada mereka-yang menyumbang kepada carta tadi, yang melakukan perbuatan ke arah tersiarnya artikel itu di Yahoo! News Malaysia dan mereka yang aku sangkakan ramai dalam kalangan mereka yang tidak beragama dan beragama lain selain Islam serta benci kepada agama Islam mahupun penganutnya.

  Aku sebenarnya suka mengaitkan apa-apa sahaja artikel yang memberi pandang serong kepada apa-apa sahaja yang berkait dengan Islam-sama ada dasar agamanya, penganutnya ataupun 'negerinya' dan 'negaranya', sebagai salah satu usaha terancang dan berterusan daripada pihak-pihak yang membenci Islam walau apa pun gelaran dan nama mereka-yang mereka sendiri ciptakan dan yang orang ramai memberikan nama atau gelaran itu kepada perkumpulan mereka. Aku juga mengajak kepada yang berkenaan supaya menginsafi diri kerana disebabkan sikap kita maka satu negeri yang mendapat nama. Memang tidak dinafikan kehidupan dalam dunia yang tiada sempadan kini melekakan kita sehingga boleh menjebakkan diri kita ke dalam perkara-perkara maksiat yang sememangnya disukai oleh nafsu, Iblis dan syaitan tetapi dibenci oleh Allah. Kenikmatan di dunia ini sekejap sahaja, hanya dalam 60 ke 70 tahun kita hidup, atau 50, 40, 30 malah 20 tahun sahaja jangka hayat kita di dunia ini. Jika dibandingkan jangka hayat di akhirat yang tidak ada penghabisan. Mahukah kita merana di dalam api neraka yang sangat panas, beribu-ribu tahun lamanya kerana kita hanya membuat maksiat beberapa puluh tahun? Sangat tidak berbaloi.
 
  Namun, sekiranya kita meminta ampun kepada Allah dan bertaubat dengan bersungguh-sungguh untuk berhenti melakukan perlakuan dosa kita kepada Allah dan Allah menerima doa kita lalu dimasukkan ke dalam syurga, bukankah itu tersangat jauh lebih baik? Sungguh, susah untuk melawan godaan nafsu dan bisikan syaitan, namun kita kenalah bertegas dan berusaha setiap masa untuk berjuang melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Janganlah pula kita berputus asa untuk meminta keampunan kepada Allah kerana Allah sangat sayang kepada kita setiap kali kita kembali mentaati Allah.

  Artikel berita kedua yang membuatkan aku panas pada malam ini (iyalah, malam kerana masih gelap lagi) adalah tentang kenyataan yang dibuat oleh seorang wanita yang berjawatan dalam PBB yang melahirkan kerisauannya terhadap kadar perkahwinan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terlalu awal sehingga mengabaikan kebolehan yang ada pada diri mereka terutamanya wanita. Mungkin kaum hawa tidak menyukai saya apabila saya mengulang perkataan wanita banyak kali dan menggelar saya dengan gelaran yang biasanya golongan pendokong hak asasi wanita berikan kepada mereka yang tidak sependapat dengan mereka. Saya bersetuju dengan kerisauannya terhadap kanak-kanak yang tidak bersekolah ramai bilangannya di Malaysia tetapi apabila ia diletakkan dalam satu artikel yang sama dengan imej negatif yang ditunjukkannya di sebalik kata-kata manis kebimbangannya terhadap ramainya wanita yang berkebolehan tetapi terhalang keserlahan kebolehannya disebabkan oleh perkahwinan, bagi saya, ianya satu kenyataan yang berniat jahat dan amat berat sebelah.

  Daripada maklum balas di bawah artikel tersebut, banyak balasan-balasan yang saya suka dan suka untuk saya kongsikan di sini. Antaranya adalah punca keciciran kanak-kanak bersekolah adalah bukan disebabkan oleh ibu bapa mereka kahwin awal ataupun kanak-kanak itu berkahwin pada usia yang sangat muda, tetapi ia disebabkan oleh kehidupan mereka dihimpit oleh kemiskinan. Suka untuk saya huraikan bahawa PBB dan masyarakat dunia sering melaungkan slogan yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, mengelakkan peperangan dan menggalakkan persekolahan. Hampir semua negara bangsa yang wujud di dunia dilayan sama rata oleh PBB tetapi banyak juga negara yang dipandang sebelah mata oleh badan dunia itu. Bahkan sekiranya suasana negara yang berbeza dengan kemahuannya, maka kajian dilakukan seterusnya terhasillah kesimpulan yang kelihatan negatif pada kaca mata rakyat yang mewujudkan suasana yang melahirkan kegusaran PBB tersebut. Sebagai contoh, pewujudan sistem perbankan yang didasari dengan riba dan pelbagai penindasan dari segi kewangan kepada masyarakat dunia. Sistem perbankan ini telah banyak mengawal sistem-sistem lain dalam dunia seperti sistem politik dan sistem sosial. Salah satu contohnya, walaupun wujud dua blok negara yang berbeza dalam dunia iaitu blok kapitalis dan blok sosialis atau komunis, namun kedua-duanya perlu berurusan dengan Bank Dunia dari segi kewangan dan perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh bapa bank tersebut. Kesannya ramai penduduk dunia yang hidup dalam kemiskinan kerana muflis, tidak berkelayakan untuk menjadi hamba bank dan tiada apa yang bank boleh berikan kepada mereka untuk memiliki wang.

  Selain itu, kenyataan yang saya sifatkan sebagai kebencian terhadap peningkatan jumlah penduduk dunia ini dan melanggar hak asasi manusia yang paling fitrah iaitu kehidupan beragama. Mereka mengatakan bahawa agama adalah satu keperluan bagi manusia untuk hidup di dunia. Tidak kiralah agama yang dimaksudkan itu bertuhan ataupun tidak bertuhan. Dalam hal ini, mereka dilihat lebih meraikan golongan yang tidak bertuhan dan mempersoalkan perbuatan yang berlandaskan ajaran agama yang bertuhan. Mengapa mereka tidak risaukan golongan sama jantina yang berkahwin kerana mereka tidak mampu menghasilkan anak malah membenarkannya di beberapa tempat di dunia? Jika hujah yang saya sudah nyatakan di atas diberikan-ia sudah terjawab-maka apakah hujah lain yang boleh membenarkan kenyataan tidak adil mereka ini terhadap masyarakat yang beragama?

  Satu lagi balasan yang bagi saya menarik adalah persoalan yang dilontarkan iaitu mengapa dipukul sama rata perbuatan rakyat di negara ini dengan rakyat di negara Pakistan dan sebagainya. Pertuduhan tanpa bukti yang nyata namun diberikan kesan perbuatan tersebut daripada negara lain adalah satu penghujahan yang tidak berasas sama sekali. Adakah mereka sudah percaya yang mereka berjaya mewujudkan satu bangsa dunia yang mempunyai sentimen ataupun doktrin atau persefahaman yang sama sebagaimana yang diinginkan oleh mereka? Dari satu sudut saya melihatnya sebagai salah satu usaha untuk menjayakan hasrat penyatuan tersebut. Adalah satu perbandingan yang tidak boleh diterima kerana budaya dua negara sangat berbeza walaupun agama yang majoriti dianuti oleh rakyatnya adalah sama. Kenyataan seperti ini adalah bagi saya, satu cubaan untuk membunuh jati diri orang yang beragama secara halus dengan menyalutkan hasutan dengan manisan kerisauan terhadap perkara lain yang tidak menyumbang kepada punca yang lain iaitu perkahwinan awal membawa kepada pembunuhan kebolehan kaum wanita, keciciran anak-anak ke sekolah dan kekurangan tenaga mahir di pelbagai bidang pekerjaan kehidupan. Banyak lagi masalah yang berlaku yang menjadi punca kepada masalah yang disebutkan tetapi bukan perkahwinan awal masalah utamanya. Perkahwinan awal tiada masalah, orang yang melakukannya juga tidak bersalah. Yang salahnya apabila ia dianggap menjadi salah dan disalahkan oleh pesalah-pesalah seperti wanita dalam tulisan berita ini dan orang-orang yang berada di belakang tabirnya.

  Tulis nak lenguh tangan panjangnya kalau tidak diambil dengan hati terbuka, tiada maknanya semua tulisan ini. Setelah sekian lama tidak menulis blog, kali ini kali pertama aku menulis tentang dua tajuk secara panjang lebar. Harap sesiapa yang membaca tulisan di blog ini dapat mengambil manfaat dan bukan menganggap ini hanyalah tulisan sia-sia yang mencerminkan kekurangan fakta dan kecetekan akal dalam meneliti maklumat. Agamaku adalah agama Islam. Negeri kelahiranku Kelantan. Negaraku Malaysia. Apa sahaja yang mencela kesemua ini, akan ku selar dengan penulisan yang terbit daripada akal fikiran yang waras. Sekian, pena telah diangkat dan dakwat telah kering. Arju mardatillah fi kulli 'amaliy. Sa-aharrakat al-dunya bikitabatiy, biizhnillah.

No comments:

Post a Comment