Sudah lama tak menjenguk ke blog ni. Sekarang sudah pun berada di saat-saat genting yang mana banyak assignment yang perlu disiapkan dan final sem exam semakin hampir. Dalam waktu sibuk beginilah aku menulis blog pulak.. Aduyai..(teringat keluhan cikgu BM sekolah menengah aku dulu :) Semester ini banyak pahit manis aku bergelar remaja ditempuh. Ada yang susah ditelan, ada juga yang setelah ditelan dengan muka berkerut, pergi cari madu dan teguk banyak-banyak. Amanah banyak yang dikhianati. Harap Allah mengampuni aku. Beberapa kali aku menyampaikan ucapan depan khalayak dan nasihat serta teguran yang aku sampaikan sebenarnya mengena di batang hidungku sendiri. Ada yang sebenarnya diucapkan melalui pengalaman yang tuan punya badan sendiri pernah terlanjur buat dan ada yang terjadi selepas beberapa ketika ucapan itu disampaikan-kerana mungkin Allah hendak menguji dengan apa yang aku sampaikan.
Hampir 2 bulan berlalu sejak kematian nenekku yang terakhir. Nenekku yang merupakan ibu kepada abahku itu sangat baik orangnya dan sangat sihat tubuh badannya. Nenekku yang merupakan ibu kepada ummi sudah lama meninggal iaitu pada tahun 2005 lagi kalau tak silap, selepas melaksanakan haji di Makkah, meskipun umur ummi dengan abahku jauh lebih tua abahku, namun umur ibu abahku ini Allah panjangkan. Secara peribadi, saat terakhir hayatnya sangat menyentuh emosiku apabila semua anak-anaknya berada di sisinya-ayah dan mak sedaraku juga sepupu2ku datang dari jauh (KL, Johor..) berkumpul di rumah seorang mak sedaraku apabila nenekku yang aku panggil We (Wan) jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Walaupun aku tidak sempat pulang ke kampung dan berada di sisinya bersama ahli keluarga yang lain, namun hatiku terubat dengan mendengar cerita daripada ummi yang menceritakan bagaimana We tersenyum ceria apabila kesemua anak-anaknya pulang ke kampung menjenguknya dan berada di sisinya. Pada hari-hari terakhir hidupnya, ummi menceritakan We sangat teruja bercerita tentang keluarga dsb kpd ahli keluarga yang datang melawat dengan panjang lebar dan dengan muka berseri-seri. Kata ummi mungkin kerana dia gembira melihat perkumpulan anak-anaknya buat kali terakhir sebelum dia meninggalkan dunia yang fana ini. Semoga ummi juga sejuk hati dengan anak-anaknya pula sebelum nyawa diambil Ilahi nanti.
Sejarah. Satu subjek yang sangat aku minati sejak dari sekolah rendah lagi. Bermula dari sejarah Islam sehinggalah kepada sejarah keluarga sendiri, yang aku rasakan ada berkaitan dengan diriku, semuanya aku ambil peduli. Bukanlah di sini bermaksud mementingkan diri sendiri tetapi apabila aku mencari asal usul keturunanku, aku mendapat kepuasan, dengan ilmu yang baru dan membuka ruang fikiranku serta dapat memelihara warisan keturunan agar aku kenal dari mana aku berasal. Sememangnya kehidupan ini agak rumit dan susur galur keturunan agak kompleks namun sedikit pengetahuan perlu disematkan dalam ingatan kerana ilmu itu walau apapun ia adalah sangat bernilai. Nama penuhku ialah Wan Ahmad Kamal bin Wan Mohamad bin Wan Ali bin Wan Mamat bin Wan Ahmad bin Wan Abdul Kadir bin Wan Haji Abdul Samad. Ini setakat yang aku ingat dan mungkin ada yang tersalah aku letakkan nama, susunan nama dan juga mungkin ada yang tertinggal.
No comments:
Post a Comment